Pages

Wednesday, 21 September 2011

APEX HERO....

HERO MALAYA!!!!!!!


SKUAD bola sepak negara berjaya mengelak daripada kekalahan besar apabila hanya tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi pembukaan pusingan ketiga Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Fukuoka, semalam.
Terima kasih kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya sembilan percubaan bahaya pasukan tuan rumah di babak pertama dan empat di babak kedua.
Jika tidak kerana kecemerlangan Fahmi, Malaysia hampir pasti menjadi ‘lauk’ kepada pasukan Samurai Biru yang seperti dijangka menguasai sebahagian besar permainan.
Hanya dua gol gagal dihalang Fahmi iaitu menerusi Keigo Higashi pada minit ke-11 dan Ryohei Yamazaki pada minit ke-77. Itu pun selepas Jepun mengasak bertali arus.
Ternyata skuad negara bukan lawan setanding untuk Jepun yang jelas memiliki kelebihan dalam segala segi baik kawalan bola, kawalan dan gaya permainan, ketenangan, skil, teknik serta taktik.
Seawal minit kedua lagi Fahmi sudah diuji apabila berjaya menghalang bola satu-dua pemain Jepun di depan gawang sebagai tanda amaran betapa deretan percubaan bahaya bakal terus menyusul selepas itu.
Ia ternyata benar apabila satu demi satu penyerang Jepun membolosi kubu negara menerusi gerakan-gerakan kemas dan menarik dari setiap penjuru.
Kegagalan pemain negara mengawal permainan dengan kemas dan memegang bola dengan yakin menjadi faktor kenapa tiada langsung percubaan bahaya berjaya diilhamkan anak-anak buah Ong Kim Swee sepanjang permainan.
Hanya di babak kedua, satu-satunya percubaan yang berjaya dicipta menerusi Thamil Arasu pada minit ke-63 tetapi belum sempat dapat meledakkan sepakan dari dalam kotak penalti, ia mudah dipatahkan pertahanan Jepun.
Dalam pada itu pujian juga perlu diberikan kepada benteng pertahanan skuad negara kerana ampuh bertahan ketika berkampung di kubu sendiri.

Tuesday, 20 September 2011

AYUH BUKTIKAN!!!!!!!

Buktikan!!!!!!


SUDAH terlalu lama sebenarnya pentas Olimpik tidak dijejaki skuad bola sepak negara.
Sepanjang tempoh 39 tahun lalu, wajah- wajah kesayangan peminat bola sepak tempatan yang menyarung jersi Malaysia sering bersilih ganti, namun belum cukup berupaya mengulangi pencapaian skuad kebangsaan yang layak beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
Meskipun tetap layak beraksi pada Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia, namun ke- rajaan Malaysia memboikot temasya itu ke- rana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sejak itu, macam-macam tohmahan terpaksa diterima barisan pemain Harimau Malaya yang belum cukup bersinar di pentas antarabangsa.
Hari ini, menjadi titik permulaan skuad Harimau Malaya dalam misi memburu slot Olimpik apabila berdepan Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka pukul 8 malam (7 malam waktu Malaysia).
Walau apa jua keputusan perlawanan yang dicatatkan anak-anak buah Ong Kim Swee malam ini, pastinya ia masih belum cukup untuk menutup mulut suara-suara sumbang yang sering 'berbunyi' dari luar padang.
Jika menang, dikatakan nasib, namun se- andainya tewas, sudah tentu bertubi-tubi kejian dihamburkan.
Sedangkan yang 'berbunyi' pastinya tidak sedar, anak-anak muda yang berjuang mewakili negara ketika ini bukannya calang-calang.
Tambahan pula tiga daripada mereka - Mohd. Fadlhi Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Irfan Fazail mula membuka 'mata dunia' apabila berjaya memikat kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce untuk menjalani latihan selama dua bulan di sana sebelum ini.
Apa yang pasti, Kim Swee kini di landasan terbaik bagi membuktikan keupayaan skuad Olimpik negara, sekali gus menjanjikan satu perlawanan yang istimewa malam ini.
Sikap Kim Swee yang gemar berteka-teki mengenai kesebelasan pemain utama negara malam ini juga harus dihormati kerana beliau pastinya memiliki alasannya tersendiri.
Malah, kesungguhan Kim Swee melindu- ngi anak-anak buahnya ketika mengamalkan dasar 'tutup pintu' kepada media Jepun sepanjang berada di 'Negara Matahari Terbit' itu, menjadi petanda yang cukup jelas betapa hanya kon- sentrasi seratus peratus pemain yang benar-benar ditagih beliau ketika ini.
"Yang paling utama, moral semua pemain kini berada di tahap tertinggi bagi memberi- kan cabaran yang terbaik ketika menentang Jepun.
"Menang sememangnya satu bonus buat Malaysia, namun kita harus sentiasa 'mengukur baju di badan sendiri' kerana Jepun sememangnya sedia maklum, berada di kelas yang berbeza," katanya semasa dihubu- ngi di Jepun semalam.
GALAS AMANAH... Khairul Fahmi Che Mat menjadi pilihan menjaga gawang skuad Olimpik.


Bagi perlawanan malam ini, posisi menjaga gawang negara hampir pasti digalas oleh Khairul Fahmi Che Mat, manakala Mohd. Zubir Azmi, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mahali Jasuli dan Muslim Ahmad di- jangka mengemudi benteng pertahanan negara daripada dirobek jentera serangan Samurai Biru.
Segala corak serangan yang dijana dari tengah padang juga dijangka diterjemahkan oleh Abdul Shukor Jusoh, Wan Zack Haikal, Mohd. Fandi Othman dan K. Gurusamy, manakala A. Thamil Arasu dijangka digandingkan bersama Izzaq Faris Ramlan di jentera penyudah.
Cabaran Jepun di bawah kendalian Taka- shi Sekizuka pasti tidak dipandang mudah apabila dijangka menurunkan bintang muda Arsenal, Ryo Miyaichi bagi mengucar-ngacirkan benteng pertahanan negara.
Jepun turut diperkuatkan muka-muka lama yang membantu pasukan itu mendapat- kan pingat emas Sukan Asia tahun lalu seperti Kensuke Nagai, Hotaru Yamaguchi, Kazuya Yamamura, Daisuke Suzuki, Yusuke Higa, Takuya Masuda dan Shunsuke Ando.
Berbanding gergasi-gergasi Asia lain, skuad negara merupakan pasukan tunggal dari Asia Tenggara berjaya meneruskan ke- maraan pada pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012.
Selepas berjaya membenam Pakistan dengan agregat 2-0, anak-anak buah Kim Swee meneruskan momentum sedia ada dengan menyingkirkan Pakistan 2-1 pada dua pusi- ngan terdahulu.
Selain Jepun, turut diundi bersama skuad negara dalam Kumpulan C ialah gergasi Timur Tengah, Bahrain dan Syria.
Aksi Kumpulan A pula dibarisi satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan bersama Qatar, Arab Saudi dan Oman, manakala Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula membuat perhitungan bagi aksi Kumpulan B.
Tiga pemenang peringkat kumpulan akan menempah slot automatik pada Sukan Olimpik 2012 di London, sementara satu lagi tempat akan ditentukan menerusi perlawanan playoff menentang wakil dari Afrika.

Monday, 19 September 2011

RAJAGOPAL SERIUS DALAM PEMILIHAN

Amirul Hadi dan Safiq Rahim antara yang digugurkan


Desas-desus negatif mengatakan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sering ‘pilih kasih’ dalam membentuk pasukannya sebelum ini sememangnya tidak berasas.
Semalam, dua tonggak kebangsaan, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang selama ini dilihat sering menjadi keutamaan Rajagobal tiba-tiba ‘tercicir’ daripada senarai 26 pemain yang terpilih menjelang aksi persahabatan menentang Australia di Sydney pada 10 Oktober depan.
Meskipun Safiq difahamkan terpinggir gara-gara penggantungan setelah mendapat kad merah semasa menentang Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 baru-baru ini, ketiadaan Amirulhadi dalam senarai pemain kali ini sememangnya mengejutkan.
Tidak mustahil, prestasi hambar yang ditunjukkan oleh Safiq dan Amirulhadi ketika mewakili Selangor pada kancah saingan Piala Malaysia kali ini juga antara penyebab mengapa kedua-dua pemain itu digugurkan daripada senarai pemain negara bagi menentang Socceroos kelak.
Selain beberapa muka baharu seperti Norhafiz Zamani Misbah, Khyril Muhymeen Zambri, Joseph Kalang Tie, Faizal Muhamad, Shahrom Kalam serta dua penjaga gol, Farizal Marlias dan Norazlan Razali yang dipanggil ketika ini, Rajagobal turut menamakan beberapa tonggak Olimpik negara bagi menghadapi cabaran Australia.
Antara pemain Olimpik yang mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini termasuklah Mahali Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Izzaq Faris Ramlan, K. Gurusamy dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Rajagobal begitupun enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Safiq dan Amirulhadi dalam senarai pemainnya kali ini.
Menurut beliau, dia hanya memilih pemain yang berada pada prestasi terbaik serta bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan itu.
“Meskipun hanya berstatus perlawanan persahabatan, saya harap banyak yang kita boleh pelajari dalam pertemuan menentang Australia kelak.
“Kesemua pemain itu akan dipanggil menjalani latihan sebaik selesai menjalankan tugas bersama pasukan masing-masing selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Difahamkan, daripada 26 pemain tersebut, hanya 22 pemain sahaja yang akan terpilih menyarung jersi kebangsaan menentang Australia nanti.
Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali yang ketika ini menjalani ujian pemilihan bersama kelab England, Cardiff City juga antara muka-muka lama yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal selain Norshahrul Idlan Talaha yang turut dipanggil semula selepas diketepikan gara-gara kecederaan sebelum ini.
Antara pemain-pemain lain yang turut terpilih termasuklah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Mohd. Amar Rohidan, S Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar.
Kehadiran semula penyerang Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong yang cukup cemerlang membantu pasukannya pada edisi Piala Malaysia kali ini juga dilihat boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal dalam merencana strategi menggempur gawang Australia kelak.
Pertemuan menentang Australia yang diperkuatkan dengan pemain terkenal seperti Tim Cahill, Harry Kewell dan Mark Schwarzer itu ternyata merupakan medan terbaik buat Rajagobal menguji barisan pemain terbaiknya dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada tahun depan.
Perlawanan itu juga bakal menjadi ujian buat skuad negara meraih pengalaman berguna semasa beraksi di pentas antarabangsa menjelang Kelayakan Piala Asia 2015 selepas ini setelah ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 dengan agregat 6-4, pada penghujung Julai lalu.

Sunday, 18 September 2011

RUMAH TUMPANGAN

http://www.facebook.com/pages/Rumah-Tumpangan-Al-Masyhur/123606824377426

How do I add Reactions to my blog? - Blogger Help

How do I add Reactions to my blog? - Blogger Help:

'via Blog this'

KIJANG MENGAMUK 10 MINIT TERAKHIR

KESEBELASAN TERBAIK....

KOTA BHARU – Tempoh 21 minit terakhir menjadi detik paling indah bagi The Red Warriors yang berjaya bangkit membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menjadi watak penting atas kebangkitan pasukan Kelantan pada penghujung babak kedua setelah lebih sejam anak buah Datuk M Karathu terpaksa bertungkus-lumus merobek pintu gol Sarawak yang ternyata cukup sukar ditembusi dalam perlawanan malam tadi.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Kelantan untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir dan perlu menewaskan Johor FC pada pertemuan Sabtu ini untuk mengesahkan tempat berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Seawal minit keempat, Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan penjaga gol, Aidil Mohamad pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan biarpun cuba dicabar Muhd Badhri Radzi.

Pada m-15, Kelantan terlepas peluang apabila rembatan kencang Mohd Shakir Shaari gagal ditangkap kemas Aidil, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu apabila bola sempat dikeluarkan pemain pertahanan Sarawak.

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri bijak melakukan umpanan cantik kepada Norshahrul Idlan di dalam kotak penalti, namun pemain pertahanan Sarawak, Mohamad Fareez Tukijo pula lebih pantas membaca hantaran tersebut.

Pada m-21, berpunca satu serangan balas pantas, Kelantan hampir menjelmakan gol pertama mereka tetapi rembatan kencang Norshahrul Idlan sekali lagi diselamatkan Aidil.

Tiga minit berselang, badi kesukaran menembusi pintu gol Sarawak sekali lagi terserlah apabila ketangkasan Aidil di gawangnya memastikan sepakan percuma menarik Muhd Badhri sekali lagi diselamatkannya.

Pada m-36, Azammuddin Mohd Akil mensia-siakan peluang terbaik apabila gagal menampan kemas hantaran lintang S Chanturu Mohd Akil biarpun berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol.

Sarawak yang tampil dengan corak permainan bertahan dengan meletakkan Bobby Gonzales sebagai penyerang tunggal turut mempunyai peluang untuk menggegarkan jaring pada m-40 namun rembatannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pasukan Sarawak bangkit mempamerkan persembahan lebih agresif dan hampir memperoleh peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan tatkala perlawanan baru enam minit bersambung pada babak kedua.

Salah faham antara S Subramaniam dengan Mohd Daudsu Jamaludin hampir mengundang padah apabila pemain Sarawak, Ashri Chuchu bijak merebut bola dan sempat melepaskan rembatan namun Mohd Shahrizan Ismail pantas menutup ruang bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi.

Namun percubaan tersebut dikira satu-satunya peluang terbaik bagi skuad Bujang Senang kerana selepas itu barisan pemain Datuk M Karathu tidak lagi membenarkan pasukan pelawat bermaharajalela sebaliknya kembali menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak tersebut.

Muhd Badhri berjaya menebus kembali kekecewaan sebelum itu apabila memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-79. Berpunca lorongan cantik Mohd Shakir ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Sarawak dan rembatan kaki kirinya berjaya menewaskan Aidil untuk gol pembukaan Kelantan.

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan untuk menambahkan jaringan selepas itu. Lapan minit kemudian, pintu gol Sarawak bolos lagi kali ini menerusi gerakan menarik satu dua di antara penyerang sensasi, Norshahrul Idlan dengan Muhd Badhri.

Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan gerakan tersebut dengan melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Kelantan.

Seminit kemudian, Muhd Badhri terus menjadi watak penting dalam perlawanan malam tadi apabila membantu Kelantan memperoleh gol ketiga. Pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah mengukir nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan lorongan cantik Muhd Badhri di dalam kotak penalti dengan merembat masuk untuk gol ketiga Kelantan.

Semangat juang pemain Sarawak akhirnya terpadam pada minit-minit akhir perlawanan setelah Muhd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi. Berpunca hantaran lintang Norshahrul Idlan ke dalam kotak penalti, Mohd Nizab bijak mengumpan kepada Muhd Badhri yang tidak dikawal dan melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat Kelantan.




2 gol - PIYA
KELANTAN 4 

Muhd Badhri Radzi (m-79,91)
Norshahrul Idlan Talaha (m-87)
Danial Fadzly Abdullah (m-88)

SARAWAK 0

KEJUTKAN GERGASI ASIA!!!!


Pemain Harapan Malaysia

MEREKA beraksi di posisi berbeza - seorang bertanggungjawab menjaga gawang, manakala seorang lagi mempunyai misi merobek gawang lawan.
Menyedari tanggungjawab yang dipikul cukup besar, kedua-dua tonggak skuad Olimpik, Mohd. Khairul Fahmi Che Mat dan A. Thamil Arasu menjanjikan persembahan terbaik menjelang pertemuan menentang Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka, Rabu ini.
Bagi Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek, dia berikrar untuk menjaga gawangnya daripada dibolosi dengan mudah, tambahan pula Jepun sememangnya berada di kelas yang berbeza serta memiliki ramai pemain muda yang berkaliber.
Menurutnya, dia juga tidak kisah sekiranya tidak menggalas cabaran selaku kapten semasa pertemuan itu, asalkan berjaya membantu negara untuk mencatatkan keputusan memberangsangkan di Tosu.
"Jika jurulatih (Ong Kim Swee) tidak menjadikan saya sebagai kapten tidak mengapa kerana misi utama saya adalah untuk menghalang jentera serangan Jepun bermaharajalela di gelanggang sendiri.
"Dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku, justeru kami berikrar untuk memberikan mesej yang cukup jelas kepada Jepun betapa Malaysia kini bukan lagi pasukan yang mudah dikalahkan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Skuad Olimpik negara yang berlepas ke negara Matahari Terbit Jumaat lalu kini dikhabarkan sedang berehat serta mencari ilham terbaik di bandar pelabuhan Kokura, kepulauan Kyushu selama tiga hari sebelum bertandang ke Tosu esok.
Selain bintang muda Arsenal, Ryo Miyaichi, skuad Samurai Biru juga dikhabarkan masih mengharapkan sentuhan pemain-pemain lama seperti Kensuke Nagai, Hotaru Yamaguchi, Kazuya Yamamura, Daisuke Suzuki, Yusuke Higa, Takuya Masuda dan Shunsuke Ando yang cemerlang membantu Jepun mendapatkan pingat emas Sukan Asia pada tahun lalu.
Selain Jepun, turut diundi bersama skuad Olimpik negara dalam Kumpulan C ialah jaguh Asia Tengah, Bahrain dan Syria.
Dalam pada itu, Thamil turut berjanji akan berusaha sedaya upaya mengatasi benteng pertahanan Samurai Biru dalam aksi pembuka tirai kumpulan itu nanti.
Benteng Terakhir - APEK

"Saya berazam untuk menjaringkan gol awal bagi menyerap tekanan Jepun yang pastinya begitu garang ketika beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.

"Apa yang pasti, kesemua pemain kini begitu bersemangat setelah mempelajari sesuatu ketika tewas 1-0 kepada Oman dalam aksi persahabatan sebelum ini," katanya yang dijangka digandingkan bersama Izzaq Faris Ramlan oleh Kim Swee di bahagian serangan.

LEBIH FOKUS.....

Kecederaan Otot tidak menjejaskan Safee Sali


PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safee Sali (gambar) sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Sebaik tiba di England awal minggu lalu, Safee sudah mula menambat tumpuan pihak pengurusan Cardiff City ketika menjalani sesi latihan bersama kelab tersebut.
Kecemerlangan Safee sepanjang mengikuti sesi latihan itu pastinya 'menutup mulut' laporan negatif segelintir media tempatan di Britain yang sebelum ini mempertikai isu permit kerja yang dikatakan menyukarkan Safee untuk beraksi di sana.
Bagi pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim, beliau menganggap isu tersebut seharusnya dijadikan pembakar semangat buat penyerang berbisa negara itu untuk memikat pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay.
"Saya harap Safee terus fokus dengan latihan, selain mengelakkan dari sebarang hubungan atau aktiviti-aktiviti yang menganggu tumpuannya kerana ini misi terpenting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
"Kecederaan otot yang menghantui Safee sebelum ini juga semakin pulih, dan Safee kini berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini (semalam)," katanya menerusi laman rasmi Facebook milik Safee semalam.
Terdahulu, segelintir pihak media di Britain mempertikai keputusan Cardiff menguji Safee yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah di bahagian serangan The Bluebirds bagi jangka masa pendek.
Ia ekoran penyerang berusia 27 tahun itu dilaporkan perlu beraksi dalam kancah Liga Eropah terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada syarat mendapatkan permit kerja.
Masalah permit kerja itu bagaimanapun bukan satu masalah besar memandangkan Cardiff hanya beraksi pada saingan Liga Kejuaraan England, dan syarat mendapatkan permit kerja difahamkan lebih longgar dikenakan terhadap pemain berbanding beraksi bersama kelab dalam Liga Perdana England.
Jika syarat itu benar, usaha Safee untuk menyarung jersi Cardiff jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab, Queens Park Rangers (QPR) yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.
Safee dijadualkan menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama dua minggu sehingga 27 September depan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya, Pelita Jaya.

Bekas penyerang Selangor itu dikhabarkan telah berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan semalam setelah tidak mengikuti kunjungan Cardiff ke Newport, utara England bagi menentang Blackpool bagi aksi ketujuh Liga Kejuaraan England yang berkesudahan seri 1-1.

AYUH GEMPUR!!!!! SAKSIKAN DI STADIUM ATAU ASTRO MLM INI


PIYA-Antara watak penting untuk mlm ini
KELANTAN mempunyai masa kurang daripada  3 jam untuk memantapkan lagi jentera penggempur dan pertahanan mereka sebelum turun menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, jentera hadapan skuadThe Red Warriors hanya berjaya menghasilkan empat gol biarpun banyak peluang terbaik terhidang dalam setiap perlawanan.


Sebagai penyandang juara, Kelantan pastinya berdepan tekanan yang cukup tinggi, apa lagi mereka kini berada di tangga kedua Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas tewas mengejut kepada Felda United, Rabu lalu.
Biarpun terpaksa akur dengan kehebatan Felda United yang berjaya menumpaskan mereka 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad The Red Warriors itu dilihat menunjuk- kan peningkatan dalam permainan yang dipamerkan.
Berdasarkan statistik, Kelantan sekurang-kurangnya memiliki 10 percubaan tepat dan enam percubaan yang tersasar ketika menentang Felda United, namun masalah ketajaman penyudah menyebabkan mereka gagal menghasilkan sebarang gol.
Norshahrul Idlan Talaha yang baru pulih daripada kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan harus segera mencari rentak untuk membuktikan dia adalah seorang penyerang yang cukup disegani.
Penyerang pinjaman, Azamuddin Akil juga dilihat masih belum menemui sentuhan apabila gagal menyumbang sebarang gol dalam tiga perlawanan selain harus bekerja lebih keras mencari keserasian bersama Norshahrul.
Dia yang diletakkan sebagai penyerang kedua selepas Norshahrul, perlu bijak meletakkan diri di posisi terbaik serta mencari ruang bagi menyudahkan peluang melalui gerakan barisan tengah Kelantan.
Dalam pada itu, ‘jeneral padang’ Kelantan, Badri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari juga perlu lebih kreatif merencanakan gerakan untuk membuka peluang kepada rakan dalam menghasilkan gol.
Perlawanan menentang Felda United tempoh hari membuktikan kedua- dua pemain ini perlu bekerja lebih keras mencari ‘idea-idea’ segar dalam mencipta gerakan kerana pemain lawan dilihat sudah mampu membaca permainan mereka berdua.
Dalam pada itu, antara kekuatan yang ada pada pasukan Kelantan yang tidak boleh dinafikan oleh pasukan lawan adalah kepantasan kedua-dua pemain sayap mereka.
Kelebihan yang ada pada Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu perlu dimanfaatkan oleh Datuk M. Karathu mencorak serangan dan membantu Badri dan Shakir, selain kedua-duanya juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan gol.
Apa yang lebih penting, barisan pertahanan Kelantan perlu lebih konsisten, terutamanya pertahanan kental S. Subramanian yang perlu lebih vokal mengkoordinasikan rakan-rakan lain bagi membentuk benteng yang lebih kukuh.
Bagi Shahrizan, peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan selepas ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan dia masih seorang penjaga gol yang terbaik pernah dimiliki Kelantan.
Bertemu Sarawak malam esok adalah peluang terbaik buat Kelantan membuktikan mereka masih belum bersedia melepaskan Piala Malaysia yang dimenanginya musim lalu.

Saturday, 17 September 2011

BECKHAM MALAYSIA TUNJUK KEHEBATAN


Penyerang sensasi negara, Safee Sali mempamerkan taringnya apabila meledak gol sulung pada hari pertama sesi latihan bersama Cardiff City di pusat latihan kelab tersebut, kelmarin.
Jaringan sulung Safee pada perlawanan lima sebelah itu begitu menarik apabila dia mengelecek pemain pertahanan skuad bimbingan Malky Mackay.

Ia merupakan perkembangan terbaru Safee yang disampaikan oleh pengurus peribadi pemain itu, Zakaria Ab. Rahim yang bangga dengan pencapaian Safee pada hari pertama bersama kelab divisyen dua England itu.
"Sebelum meledak jaringan tersebut, Safee mempamerkan kehandalannya apabila
mengelecek seorang pemain pertahanan skuad Bluebirds.

"Selepas menjaringkan gol, Safee dijatuhkan oleh pemain yang berjaya dilepasinya sebelum itu namun Safee tidak mengalami apa-apa masalah.

"Ia perkembangan yang amat baik kerana Safee tiba hari Isnin lalu dan terus menjalani latihan pada pukul 9 pagi semalam (waktu tempatan)," katanya semalam.

Tambah Zakaria, Safee mula menyertai sesi latihan kelab itu di Stadium Cardiff City buat kali pertama selepas berlatih di pusat latihan kelab itu Selasa lalu.

"Safee menunjukkan keserasian dengan pemain dan hubungan dengan rakan sepasukan yang lain amat baik.
"Jurulatih tidak menganggap Safee sebagai orang asing semasa latihan serta memberikan layanan yang sama seperti mana pemain lain," katanya.

Menurutnya, Safee tidak mengalami masalah seperti tempat penginapan yang hanya lima minit berjalan kaki ke pusat latihan Cardiff City.

Sementara itu, mengenai laporan akhbar tempatan Wales yang menggelar Safee sebagai 'David Beckham Malaysia', Zakaria berkata: "Ia mampu menyuntik semangat Safee kerana ramai yang semakin mengenalinya.
"Cabaran berlatih di sana amat bagus buat Safee kerana dia dapat bersama dengan pemain yang jauh lebih tinggi tahap keupayaannya, terutama apabila berlatih dengan penyerang Cardiff City," katanya.

Friday, 16 September 2011

KAMI TIDAK GUSAR..!!!!


PESANAN BERGUNA.....KLIA

APA saja pujian yang diberikan kepada Jepun sebenarnya tidak menggentarkan skuad Olimpik negara apabila berdepan pasukan gergasi Asia itu pada perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu ini.
Sememangnya diakui, sejak undian peringkat kumpulan pada Julai lalu diketahui, ramai yang khuatir mengenai peluang anak didik Ong Kim Swee itu apabila diundi bersama Jepun yang tidak pernah gagal menempatkan diri ke temasya sukan terbesar di dunia itu sejak 1996.

Namun kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat tetap menaruh harapan betapa barisan muda negara mampu melakar kejutan untuk mencipta permulaan baik dalam kempen kali ini.

“Semua orang tahu Jepun pasukan terkuat di Asia, apa yang kami perlu lakukan adalah memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan tidak terlalu memikirkan kehebatan pasukan lawan.

“Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan pasukan yang beraksi lebih baik berhak menang pertemuan ini nanti. Saya harap semua penyokong mendoakan kejayaan kami,” katanya yang berlepas ke Jepun bersama skuad seramai 21 pemain pagi semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan skuad bawah 23 tahun negara setakat ini ternyata lebih memihak kepada skuad Samurai Biru.


Pada pusingan kelayakan pertama Olimpik 1999, Malaysia tumpas 0-4 di Hong Kong dan kalah dengan jaringan sama di Tokyo. Malaysia dan Jepun bertemu sekali lagi di pusingan kedua kelayakan Olimpik 2007 namun kecundang 1-2 di Petaling Jaya dan 1-3 di Tokyo.

Malah ketika berentap di pusingan pertama Sukan Asia Guangzhou tahun lalu, Malaysia yang ketika itu dikendalikan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tumpas 0-2.

Khairul Fahmi atau turut senang disapa dengan panggilan Apek sedar, mereka perlu memberi aksi terbaik untuk mengekang asakan skuad kendalian Takashi Sekizuka yang bakal menurunkan penjaring terbanyak ketika muncul juara Asia di Guangzhou, Kensuke Nagai.

“Pemain-pemain berada di tahap terbaik ketika ini cuma kami perlu meningkatkan prestasi apabila bertemu Jepun kerana mereka bukan pasukan sebarangan. Saya amat berharap memastikan pintu gol tidak dibolosi dalam perlawanan itu,” katanya yang menjadi penjaga gol utama skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Malaysia yang menjadi wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Olimpik tumpas 0-1 kepada skuad Olimpik Oman pada aksi persiapan terakhir di Stadium UiTM kelmarin selepas seri tanpa jaringan menentang kelab Iraq, Arbil SC minggu lalu.

Selain Jepun, skuad negara bakal berdepan tentangan Syria dan Bahrain dalam merebut satu slot automatik ke London selepas kali terakhir Malaysia layak beraksi di sukan Olimpik Moscow pada 1980.

PENYERANG KURANG TAJAM!!!!!!


SKUAD OLIMPIK.....

KEMAMPUAN jentera serangan skuad Olimpik negara terus diragui menjelang pertemuan getir menentang Jepun pada perlawanan pembukaan saingan Kumpulan C pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Tosu, Rabu ini.
Masalah ini tampak membingungkan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya kalah tipis dalam aksi persahabatan dengan skuad Olimpik Oman 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Ketika pertahanan serta bahagian tengah negara berfungsi dengan baik, bahagian serangan yang diterajui A Thamil Arasu dan Mohd Irfan Fazail gagal menterjemahkan deretan peluang kepada jaringan.

Kegagalan itu menyebabkan skuad negara yang mendapat sokongan lebih 2,000 penyokong akur dengan gol tunggal Oman hasil jaringan penyerang lincah, Hussain Ali al Hadhri pada minit ke-41.

Bagi Kim Swee yang berlepas ke Jepun bersama 21 pemain pagi tadi amat berharap ‘kemarau gol’ jentera serangan dapat diakhiri dalam perlawanan sebenar.

“Jika anda melihat perlawanan tadi (semalam) bahagian serangan kami sudah melakukan segala yang termampu, kami mengatur gerakan dan melancarkan serangan namun masih gagal menghasilkan gol,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.


Perlawanan dengan Oman yang baru dinobat selaku juara Piala Negara-Negara Teluk Bawah 23 Tahun ini adalah aksi pemanas badan kedua skuad negara selepas seri tanpa jaringan menentang Arbil SC minggu lalu.

Skuad kendalian Kim Swee boleh mencipta kemenangan ke atas Oman jika peluang pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-45, Thamil Arasu di minit ke-47 dan 48 di depan gol dapat disempurnakan dengan baik.

Malah kemasukan penyerang gantian tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim turut gagal mencipta sesuatu.

Namun secara keseluruhan Kim Swee menyifatkan anak buahnya beraksi dengan baik khususnya ketika mendominasi permainan babak kedua.

“Kami beraksi lebih baik pada babak kedua walaupun gagal mencari gol penyamaan. Kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dan kekalahan ini boleh dijadikan pengajaran buat semua pemain sebelum menentang Jepun,” katanya.

Selain Jepun, Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara yang mara ke pusingan ketiga turut akan berdepan Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

Thursday, 15 September 2011

AYUH MALAYSIA!!!!!!!

MALAYSIA BOLEH!!!!!

RAKYAT Malaysia bakal menyaksikan pertembungan ibarat pemanas badan skuad Olimpik negara dengan skuad Olimpik Oman sebelum bertemu cabaran sebenar iaitu Jepun, 21 September ini.

Sebelum ini, pasukan kendalian Ong Kim Swee itu, ‘bertapa’ di Slovakia sejak 23 Julai lalu dengan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan di mana mereka menang lima perlawanan.

Apa pun Kim Swee sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran bagi 

perlawanan ini, kerana mengharap agar anak buahnya, dapat menggunakan peluang yang ada untuk belajar sebelum bertemu pasukan dari negara matahari terbit itu.

Namun, jika seperti dikatakan oleh ramai orang, jika kita memenangi perlawanan kali ini, pasti nama Malaysia lebih dipandang tinggi tetapi jika kita kalah jangan pula menuding jari menyalahkan mereka kerana itu adalah pengalaman buat mereka.

Wednesday, 14 September 2011

SELANGOR HARAP TUAH!!!!!


PIALA IDAMAN.....

PELUANG juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor untuk melangkah ke suku akhir kini bergantung sepenuhnya pada aksi menentang T-Team di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Andai tewas kepada kelab Terengganu itu, anak buah jurulatih K Devan sudah boleh melupakan hasrat untuk bergelar juara kumpulan ketika Kuala Lumpur dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk menundukkan PDRM yang masih belum mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Namun kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah melaungkan amaran akan berjuang habis-habisan apabila melayan kunjungan skuad kendalian Yunus Alif nanti bagi memastikan “Misi 33” tidak berkubur di peringkat kumpulan.

“Saya tetap yakin peluang ke suku akhir masih terbuka. Kami akan beraksi dua perlawanan di tempat sendiri (menentang T-Team dan Kuala Lumpur) yang secara tidak langsung akan memberikan kelebihan untuk meraih mata penuh.

“Namun aksi menentang T-Team paling kritikal kerana menentukan hala tuju pasukan dan kami tidak boleh tewas untuk kali keempat musim ini,” katanya.


Selangor diikat Kuala Lumpur dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan D kelmarin sekali gus menamatkan pusingan pertama dengan meraih empat mata.

KELANTAN PERLU BERHATI-HATI.......


Sesi latihan terakhir-semalam

Juara bertahan, Kelantan berhadapan tugas getir dalam meneruskan rentak cemerlang memburu tiga mata penuh apabila bertemu KL Felda United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
Persembahan luar biasa skuad kendalian E Elavarasan yang mencatatkan dua kemenangan dengan mengalahkan Johor FC 2-0 diikuti Sarawak, 1-0 sudah pasti menghadirkan rasa gerun kepada anak buah Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang masih bergelut untuk keluar daripada kemelut persembahan dibawah tahap sebenar.
“Perlawanan ini cukup penting bagi kedua-dua pasukan untuk mengutip mata. Kita tidak boleh mengharapkan situasi dimana apabila kita pernah mengatasi mereka di Kota Bharu sebelum ini maka kita boleh mengulangi perkara yang sama di Selayang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Situasi kini sudah berbeza sekarang kerana KL Felda United FC tampil dengan semangat baru apatah lagi mereka juga turut diperkuatkan dengan tiga pemain baru. Sudah pasti mereka akan mengatur strategi tersendiri apabila bertemu dengan kita kali ini.
“Mereka merupakan sebuah pasukan yang bagus dan saya akui kita bakal menerima tekanan apabila beraksi disana. Itu kita tidak dapat elakkan tambahan pula ini saingan kempen Piala Malaysia dan semua pasukan mahu mencatatkan kemenangan,” katanya.
Mengakui tidak ada pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan bagi memburu slot lebih awal ke suku akhir, Karathu menegaskan dua faktor betapa tumpuan utama serta kemampuan anak buahnya memanfaatkan peluang yang terhidang bakal menjadi penentu kepada kemenangan pasukannya dalam pertemuan malam ini.
“Saya mahu semua pemain menunjukkan semangat yang lebih daripada biasa. Bermula diposisi pertahanan, tengah dan serangan, mereka perlu memberikan komitmen lebih daripada seratus peratus dalam perlawanan ini.
“Memang kita mempunyai masa yang singkat dalam menyiapkan pasukan namun saya percaya kepada kemampuan pemain saya. Malah saya mengingatkan semua pemain supaya bersedia menghadapi situasi sukar sekiranya pasukan lawan mempamerkan aksi bertahan dalam perlawanan malam ini.
“Diatas kertas kita sebenarnya lebih baik daripada mereka. Saya yakin kita boleh mendapatkan tiga mata. Sudah pasti saya menjadi orang yang paling gembira sekiranya kita menang. Kemenangan ini cukup penting bagi memudahkan laluan kita untuk layak ke peringkat suku akhir,” katanya.
Sandaran Kelantan - Nor Shahrul Idlan Talaha
Barisan kemungkinan Kelantan :

Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, S Chanturu, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha.

Tuesday, 13 September 2011

JUARA BERTAHAN LONGLAI....



Aksi longlai juara bertahan, Kelantan ketika mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV ternyata mengundang keresahan penyokong setia The Red Warriors sendiri.
Namun nada berbeza disuarakan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang jelas tidak terlalu gusar dan bagi pengendali berusia 68 tahun itu, tidak ada keperluan bagi beliau untuk menekan butang panik menangani situasi tersebut.
“Memang sukar bagi kita menentang sebuah pasukan seperti Johor FC ini. Anda dapat lihat 10 pemain mereka berkampung dibahagian bawah dan ini menyukarkan kita untuk mencipta peluang seterusnya menembusi pintu gol mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saingan Piala Malaysia memang cukup berbeza. Setiap pasukan yang bertandang ke Kota Bharu sudah pasti merangka strategi tersendiri dan ini yang dilakukan oleh Johor FC apabila mereka bertemu dengan kita disini.
“Saya puji persembahan yang ditunjukkan pemain mereka. Mereka bijak memanfaatkan peluang dengan melakukan serangan balas apabila kita kehilangan bola. Malah semangat juang mereka cukup tinggi sekalipun ketinggalan 2-1 pada minit-minit terakhir,” katanya.
Ditanya mengenai aksi jentera tengah dan serangan yang dilihat gagal berfungsi dengan efektif dalam perlawanan tersebut, Karathu sebaliknya mempertahankan aksi kurang bertenaga anak buahnya dan menjelaskan faktor kurang cergas menjadi punca anak buahnya bermain dibawah tahap keupayaan sebenar dalam dua perlawanan setakat ini.
“Itu tidak bermakna kita sebuah pasukan yang lemah. Kelantan merupakan sebuah pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya tidak pernah sangsi dengan kemampuan pemain-pemain saya. Sebagai pemain mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Saya gembira kita seri atau menang dalam perlawanan ini. Ianya satu pengajaran yang baik untuk kita menghadapi perlawanan akan datang. Dalam bola sepak kita mempunyai tiga keputusan iaitu menang, seri atau kalah. Dan kita bernasib baik menang dalam perlawanan ini.
“Tidak ada keperluan bagi saya untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan ini. Kalau ada pun mungkin satu atau dua pemain yang perlu ditukar. Tetapi menjaringkan empat gol dan bolos satu gol daripada dua perlawanan itu merupakan satu pencapaian yang baik bagi kita mengharungi dua perlawanan setakat ini,” katanya.
Dalam perlawanan kedua malam semalam, Johor FC terlebih dahulu mengejutkan Kelantan seawal m-11 menerusi jaringan pemain sayapnya, Eddy Helmi Abdul Manan sebelum Mohd Shakir Shaari memadamkan kelebihan tersebut enam minit kemudian.
Pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan memastikan mata keenam milik mutlak bagi Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum perlawanan berakhir.

CABARAN PERTAMA SAFEE.....MALAYSIA BOLEH!!!! KEBANGGAAN KITA....


BELUM lagi memulakan ujian pemilihan bersama pasukan Cardiff City, penyerang kebangsaan, Safee Sali sudah mengharungi dugaan pertama semalam.
Selain berkelana seorang diri tanpa ditemani keluarga, Safee juga difahamkan mengalami masalah penerbangan dan hanya dijangka tiba di Cardiff dari Doha, Qatar lewat petang semalam.
Pengurus Safee, Zakaria Ab. Rahim yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, masalah tersebut di jangka tidak menjejaskan konsentrasi dan prestasi Safee dalam usaha memikat pihak pengurusan Cardiff City.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga menyebabkan penerbangan Safee tergendala dan berlepas lewat dari waktu yang sepatutnya pukul 3.35 pagi semalam.
Selain itu katanya, Safee juga akan menjalani ujian pemilihan seorang diri tanpa ditemani isteri, Sabarina Yusof dan anak mereka, Syaza Syaqina kerana mahu memberikan komitmen 100 peratus sepanjang berada di Cardiff kelak.
“Malah, saya juga hanya akan mengiringi Safee ke Cardiff pada minggu depan kerana masih mempunyai beberapa urusan penting di tanah air.
“Inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan Safee dalam usaha memberikan yang terbaik supaya dapat menyarung jersi Cardiff City,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Safee semalam telah berlepas ke Cardiff dalam usaha menjadi pemain pertama negara dapat beraksi bersama kelab England.
Begitupun kata Zakaria, Safee dijangka tidak kesunyian kerana bakal bertemu peminat-peminat bola sepak negara di Cardiff sempena sambutan Hari Malaysia yang dijangka diadakan di situ pada 25 September depan.
“Selain itu, Safee juga akan menginap di sebuah hotel yang jaraknya tidak sampai lima kilometer dari tempat latihan dan dibiayai sepenuhnya oleh Cardiff City.
“Saya percaya Safee tabah dan kuat ketika merantau di tempat orang memandangkan dia telah biasa dengan situasi itu sebaik menyarung jersi kelab Indonesia, Pelita Jaya sebelum ini,” katanya.