Pages

Friday 16 September 2011

KAMI TIDAK GUSAR..!!!!


PESANAN BERGUNA.....KLIA

APA saja pujian yang diberikan kepada Jepun sebenarnya tidak menggentarkan skuad Olimpik negara apabila berdepan pasukan gergasi Asia itu pada perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu ini.
Sememangnya diakui, sejak undian peringkat kumpulan pada Julai lalu diketahui, ramai yang khuatir mengenai peluang anak didik Ong Kim Swee itu apabila diundi bersama Jepun yang tidak pernah gagal menempatkan diri ke temasya sukan terbesar di dunia itu sejak 1996.

Namun kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat tetap menaruh harapan betapa barisan muda negara mampu melakar kejutan untuk mencipta permulaan baik dalam kempen kali ini.

“Semua orang tahu Jepun pasukan terkuat di Asia, apa yang kami perlu lakukan adalah memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan tidak terlalu memikirkan kehebatan pasukan lawan.

“Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan pasukan yang beraksi lebih baik berhak menang pertemuan ini nanti. Saya harap semua penyokong mendoakan kejayaan kami,” katanya yang berlepas ke Jepun bersama skuad seramai 21 pemain pagi semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan skuad bawah 23 tahun negara setakat ini ternyata lebih memihak kepada skuad Samurai Biru.


Pada pusingan kelayakan pertama Olimpik 1999, Malaysia tumpas 0-4 di Hong Kong dan kalah dengan jaringan sama di Tokyo. Malaysia dan Jepun bertemu sekali lagi di pusingan kedua kelayakan Olimpik 2007 namun kecundang 1-2 di Petaling Jaya dan 1-3 di Tokyo.

Malah ketika berentap di pusingan pertama Sukan Asia Guangzhou tahun lalu, Malaysia yang ketika itu dikendalikan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tumpas 0-2.

Khairul Fahmi atau turut senang disapa dengan panggilan Apek sedar, mereka perlu memberi aksi terbaik untuk mengekang asakan skuad kendalian Takashi Sekizuka yang bakal menurunkan penjaring terbanyak ketika muncul juara Asia di Guangzhou, Kensuke Nagai.

“Pemain-pemain berada di tahap terbaik ketika ini cuma kami perlu meningkatkan prestasi apabila bertemu Jepun kerana mereka bukan pasukan sebarangan. Saya amat berharap memastikan pintu gol tidak dibolosi dalam perlawanan itu,” katanya yang menjadi penjaga gol utama skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Malaysia yang menjadi wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Olimpik tumpas 0-1 kepada skuad Olimpik Oman pada aksi persiapan terakhir di Stadium UiTM kelmarin selepas seri tanpa jaringan menentang kelab Iraq, Arbil SC minggu lalu.

Selain Jepun, skuad negara bakal berdepan tentangan Syria dan Bahrain dalam merebut satu slot automatik ke London selepas kali terakhir Malaysia layak beraksi di sukan Olimpik Moscow pada 1980.

No comments:

Post a Comment