Pages

Sunday, 18 September 2011

KIJANG MENGAMUK 10 MINIT TERAKHIR

KESEBELASAN TERBAIK....

KOTA BHARU – Tempoh 21 minit terakhir menjadi detik paling indah bagi The Red Warriors yang berjaya bangkit membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menjadi watak penting atas kebangkitan pasukan Kelantan pada penghujung babak kedua setelah lebih sejam anak buah Datuk M Karathu terpaksa bertungkus-lumus merobek pintu gol Sarawak yang ternyata cukup sukar ditembusi dalam perlawanan malam tadi.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Kelantan untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir dan perlu menewaskan Johor FC pada pertemuan Sabtu ini untuk mengesahkan tempat berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Seawal minit keempat, Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan penjaga gol, Aidil Mohamad pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan biarpun cuba dicabar Muhd Badhri Radzi.

Pada m-15, Kelantan terlepas peluang apabila rembatan kencang Mohd Shakir Shaari gagal ditangkap kemas Aidil, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu apabila bola sempat dikeluarkan pemain pertahanan Sarawak.

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri bijak melakukan umpanan cantik kepada Norshahrul Idlan di dalam kotak penalti, namun pemain pertahanan Sarawak, Mohamad Fareez Tukijo pula lebih pantas membaca hantaran tersebut.

Pada m-21, berpunca satu serangan balas pantas, Kelantan hampir menjelmakan gol pertama mereka tetapi rembatan kencang Norshahrul Idlan sekali lagi diselamatkan Aidil.

Tiga minit berselang, badi kesukaran menembusi pintu gol Sarawak sekali lagi terserlah apabila ketangkasan Aidil di gawangnya memastikan sepakan percuma menarik Muhd Badhri sekali lagi diselamatkannya.

Pada m-36, Azammuddin Mohd Akil mensia-siakan peluang terbaik apabila gagal menampan kemas hantaran lintang S Chanturu Mohd Akil biarpun berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol.

Sarawak yang tampil dengan corak permainan bertahan dengan meletakkan Bobby Gonzales sebagai penyerang tunggal turut mempunyai peluang untuk menggegarkan jaring pada m-40 namun rembatannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pasukan Sarawak bangkit mempamerkan persembahan lebih agresif dan hampir memperoleh peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan tatkala perlawanan baru enam minit bersambung pada babak kedua.

Salah faham antara S Subramaniam dengan Mohd Daudsu Jamaludin hampir mengundang padah apabila pemain Sarawak, Ashri Chuchu bijak merebut bola dan sempat melepaskan rembatan namun Mohd Shahrizan Ismail pantas menutup ruang bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi.

Namun percubaan tersebut dikira satu-satunya peluang terbaik bagi skuad Bujang Senang kerana selepas itu barisan pemain Datuk M Karathu tidak lagi membenarkan pasukan pelawat bermaharajalela sebaliknya kembali menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak tersebut.

Muhd Badhri berjaya menebus kembali kekecewaan sebelum itu apabila memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-79. Berpunca lorongan cantik Mohd Shakir ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Sarawak dan rembatan kaki kirinya berjaya menewaskan Aidil untuk gol pembukaan Kelantan.

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan untuk menambahkan jaringan selepas itu. Lapan minit kemudian, pintu gol Sarawak bolos lagi kali ini menerusi gerakan menarik satu dua di antara penyerang sensasi, Norshahrul Idlan dengan Muhd Badhri.

Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan gerakan tersebut dengan melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Kelantan.

Seminit kemudian, Muhd Badhri terus menjadi watak penting dalam perlawanan malam tadi apabila membantu Kelantan memperoleh gol ketiga. Pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah mengukir nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan lorongan cantik Muhd Badhri di dalam kotak penalti dengan merembat masuk untuk gol ketiga Kelantan.

Semangat juang pemain Sarawak akhirnya terpadam pada minit-minit akhir perlawanan setelah Muhd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi. Berpunca hantaran lintang Norshahrul Idlan ke dalam kotak penalti, Mohd Nizab bijak mengumpan kepada Muhd Badhri yang tidak dikawal dan melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat Kelantan.




2 gol - PIYA
KELANTAN 4 

Muhd Badhri Radzi (m-79,91)
Norshahrul Idlan Talaha (m-87)
Danial Fadzly Abdullah (m-88)

SARAWAK 0

No comments:

Post a Comment