Pages

Friday 16 September 2011

PENYERANG KURANG TAJAM!!!!!!


SKUAD OLIMPIK.....

KEMAMPUAN jentera serangan skuad Olimpik negara terus diragui menjelang pertemuan getir menentang Jepun pada perlawanan pembukaan saingan Kumpulan C pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Tosu, Rabu ini.
Masalah ini tampak membingungkan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya kalah tipis dalam aksi persahabatan dengan skuad Olimpik Oman 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Ketika pertahanan serta bahagian tengah negara berfungsi dengan baik, bahagian serangan yang diterajui A Thamil Arasu dan Mohd Irfan Fazail gagal menterjemahkan deretan peluang kepada jaringan.

Kegagalan itu menyebabkan skuad negara yang mendapat sokongan lebih 2,000 penyokong akur dengan gol tunggal Oman hasil jaringan penyerang lincah, Hussain Ali al Hadhri pada minit ke-41.

Bagi Kim Swee yang berlepas ke Jepun bersama 21 pemain pagi tadi amat berharap ‘kemarau gol’ jentera serangan dapat diakhiri dalam perlawanan sebenar.

“Jika anda melihat perlawanan tadi (semalam) bahagian serangan kami sudah melakukan segala yang termampu, kami mengatur gerakan dan melancarkan serangan namun masih gagal menghasilkan gol,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.


Perlawanan dengan Oman yang baru dinobat selaku juara Piala Negara-Negara Teluk Bawah 23 Tahun ini adalah aksi pemanas badan kedua skuad negara selepas seri tanpa jaringan menentang Arbil SC minggu lalu.

Skuad kendalian Kim Swee boleh mencipta kemenangan ke atas Oman jika peluang pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-45, Thamil Arasu di minit ke-47 dan 48 di depan gol dapat disempurnakan dengan baik.

Malah kemasukan penyerang gantian tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim turut gagal mencipta sesuatu.

Namun secara keseluruhan Kim Swee menyifatkan anak buahnya beraksi dengan baik khususnya ketika mendominasi permainan babak kedua.

“Kami beraksi lebih baik pada babak kedua walaupun gagal mencari gol penyamaan. Kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dan kekalahan ini boleh dijadikan pengajaran buat semua pemain sebelum menentang Jepun,” katanya.

Selain Jepun, Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara yang mara ke pusingan ketiga turut akan berdepan Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

No comments:

Post a Comment