Pages

Monday, 19 September 2011

RAJAGOPAL SERIUS DALAM PEMILIHAN

Amirul Hadi dan Safiq Rahim antara yang digugurkan


Desas-desus negatif mengatakan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sering ‘pilih kasih’ dalam membentuk pasukannya sebelum ini sememangnya tidak berasas.
Semalam, dua tonggak kebangsaan, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang selama ini dilihat sering menjadi keutamaan Rajagobal tiba-tiba ‘tercicir’ daripada senarai 26 pemain yang terpilih menjelang aksi persahabatan menentang Australia di Sydney pada 10 Oktober depan.
Meskipun Safiq difahamkan terpinggir gara-gara penggantungan setelah mendapat kad merah semasa menentang Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 baru-baru ini, ketiadaan Amirulhadi dalam senarai pemain kali ini sememangnya mengejutkan.
Tidak mustahil, prestasi hambar yang ditunjukkan oleh Safiq dan Amirulhadi ketika mewakili Selangor pada kancah saingan Piala Malaysia kali ini juga antara penyebab mengapa kedua-dua pemain itu digugurkan daripada senarai pemain negara bagi menentang Socceroos kelak.
Selain beberapa muka baharu seperti Norhafiz Zamani Misbah, Khyril Muhymeen Zambri, Joseph Kalang Tie, Faizal Muhamad, Shahrom Kalam serta dua penjaga gol, Farizal Marlias dan Norazlan Razali yang dipanggil ketika ini, Rajagobal turut menamakan beberapa tonggak Olimpik negara bagi menghadapi cabaran Australia.
Antara pemain Olimpik yang mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini termasuklah Mahali Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Izzaq Faris Ramlan, K. Gurusamy dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Rajagobal begitupun enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Safiq dan Amirulhadi dalam senarai pemainnya kali ini.
Menurut beliau, dia hanya memilih pemain yang berada pada prestasi terbaik serta bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan itu.
“Meskipun hanya berstatus perlawanan persahabatan, saya harap banyak yang kita boleh pelajari dalam pertemuan menentang Australia kelak.
“Kesemua pemain itu akan dipanggil menjalani latihan sebaik selesai menjalankan tugas bersama pasukan masing-masing selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Difahamkan, daripada 26 pemain tersebut, hanya 22 pemain sahaja yang akan terpilih menyarung jersi kebangsaan menentang Australia nanti.
Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali yang ketika ini menjalani ujian pemilihan bersama kelab England, Cardiff City juga antara muka-muka lama yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal selain Norshahrul Idlan Talaha yang turut dipanggil semula selepas diketepikan gara-gara kecederaan sebelum ini.
Antara pemain-pemain lain yang turut terpilih termasuklah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Mohd. Amar Rohidan, S Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar.
Kehadiran semula penyerang Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong yang cukup cemerlang membantu pasukannya pada edisi Piala Malaysia kali ini juga dilihat boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal dalam merencana strategi menggempur gawang Australia kelak.
Pertemuan menentang Australia yang diperkuatkan dengan pemain terkenal seperti Tim Cahill, Harry Kewell dan Mark Schwarzer itu ternyata merupakan medan terbaik buat Rajagobal menguji barisan pemain terbaiknya dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada tahun depan.
Perlawanan itu juga bakal menjadi ujian buat skuad negara meraih pengalaman berguna semasa beraksi di pentas antarabangsa menjelang Kelayakan Piala Asia 2015 selepas ini setelah ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 dengan agregat 6-4, pada penghujung Julai lalu.

No comments:

Post a Comment