Pages

Tuesday 13 September 2011

JUARA BERTAHAN LONGLAI....



Aksi longlai juara bertahan, Kelantan ketika mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV ternyata mengundang keresahan penyokong setia The Red Warriors sendiri.
Namun nada berbeza disuarakan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang jelas tidak terlalu gusar dan bagi pengendali berusia 68 tahun itu, tidak ada keperluan bagi beliau untuk menekan butang panik menangani situasi tersebut.
“Memang sukar bagi kita menentang sebuah pasukan seperti Johor FC ini. Anda dapat lihat 10 pemain mereka berkampung dibahagian bawah dan ini menyukarkan kita untuk mencipta peluang seterusnya menembusi pintu gol mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saingan Piala Malaysia memang cukup berbeza. Setiap pasukan yang bertandang ke Kota Bharu sudah pasti merangka strategi tersendiri dan ini yang dilakukan oleh Johor FC apabila mereka bertemu dengan kita disini.
“Saya puji persembahan yang ditunjukkan pemain mereka. Mereka bijak memanfaatkan peluang dengan melakukan serangan balas apabila kita kehilangan bola. Malah semangat juang mereka cukup tinggi sekalipun ketinggalan 2-1 pada minit-minit terakhir,” katanya.
Ditanya mengenai aksi jentera tengah dan serangan yang dilihat gagal berfungsi dengan efektif dalam perlawanan tersebut, Karathu sebaliknya mempertahankan aksi kurang bertenaga anak buahnya dan menjelaskan faktor kurang cergas menjadi punca anak buahnya bermain dibawah tahap keupayaan sebenar dalam dua perlawanan setakat ini.
“Itu tidak bermakna kita sebuah pasukan yang lemah. Kelantan merupakan sebuah pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya tidak pernah sangsi dengan kemampuan pemain-pemain saya. Sebagai pemain mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Saya gembira kita seri atau menang dalam perlawanan ini. Ianya satu pengajaran yang baik untuk kita menghadapi perlawanan akan datang. Dalam bola sepak kita mempunyai tiga keputusan iaitu menang, seri atau kalah. Dan kita bernasib baik menang dalam perlawanan ini.
“Tidak ada keperluan bagi saya untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan ini. Kalau ada pun mungkin satu atau dua pemain yang perlu ditukar. Tetapi menjaringkan empat gol dan bolos satu gol daripada dua perlawanan itu merupakan satu pencapaian yang baik bagi kita mengharungi dua perlawanan setakat ini,” katanya.
Dalam perlawanan kedua malam semalam, Johor FC terlebih dahulu mengejutkan Kelantan seawal m-11 menerusi jaringan pemain sayapnya, Eddy Helmi Abdul Manan sebelum Mohd Shakir Shaari memadamkan kelebihan tersebut enam minit kemudian.
Pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan memastikan mata keenam milik mutlak bagi Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum perlawanan berakhir.

No comments:

Post a Comment