Pages

Sunday, 18 September 2011

LEBIH FOKUS.....

Kecederaan Otot tidak menjejaskan Safee Sali


PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safee Sali (gambar) sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Sebaik tiba di England awal minggu lalu, Safee sudah mula menambat tumpuan pihak pengurusan Cardiff City ketika menjalani sesi latihan bersama kelab tersebut.
Kecemerlangan Safee sepanjang mengikuti sesi latihan itu pastinya 'menutup mulut' laporan negatif segelintir media tempatan di Britain yang sebelum ini mempertikai isu permit kerja yang dikatakan menyukarkan Safee untuk beraksi di sana.
Bagi pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim, beliau menganggap isu tersebut seharusnya dijadikan pembakar semangat buat penyerang berbisa negara itu untuk memikat pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay.
"Saya harap Safee terus fokus dengan latihan, selain mengelakkan dari sebarang hubungan atau aktiviti-aktiviti yang menganggu tumpuannya kerana ini misi terpenting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
"Kecederaan otot yang menghantui Safee sebelum ini juga semakin pulih, dan Safee kini berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini (semalam)," katanya menerusi laman rasmi Facebook milik Safee semalam.
Terdahulu, segelintir pihak media di Britain mempertikai keputusan Cardiff menguji Safee yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah di bahagian serangan The Bluebirds bagi jangka masa pendek.
Ia ekoran penyerang berusia 27 tahun itu dilaporkan perlu beraksi dalam kancah Liga Eropah terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada syarat mendapatkan permit kerja.
Masalah permit kerja itu bagaimanapun bukan satu masalah besar memandangkan Cardiff hanya beraksi pada saingan Liga Kejuaraan England, dan syarat mendapatkan permit kerja difahamkan lebih longgar dikenakan terhadap pemain berbanding beraksi bersama kelab dalam Liga Perdana England.
Jika syarat itu benar, usaha Safee untuk menyarung jersi Cardiff jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab, Queens Park Rangers (QPR) yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.
Safee dijadualkan menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama dua minggu sehingga 27 September depan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya, Pelita Jaya.

Bekas penyerang Selangor itu dikhabarkan telah berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan semalam setelah tidak mengikuti kunjungan Cardiff ke Newport, utara England bagi menentang Blackpool bagi aksi ketujuh Liga Kejuaraan England yang berkesudahan seri 1-1.

No comments:

Post a Comment