Pages

Sunday, 18 September 2011

LEBIH FOKUS.....

Kecederaan Otot tidak menjejaskan Safee Sali


PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safee Sali (gambar) sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Sebaik tiba di England awal minggu lalu, Safee sudah mula menambat tumpuan pihak pengurusan Cardiff City ketika menjalani sesi latihan bersama kelab tersebut.
Kecemerlangan Safee sepanjang mengikuti sesi latihan itu pastinya 'menutup mulut' laporan negatif segelintir media tempatan di Britain yang sebelum ini mempertikai isu permit kerja yang dikatakan menyukarkan Safee untuk beraksi di sana.
Bagi pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim, beliau menganggap isu tersebut seharusnya dijadikan pembakar semangat buat penyerang berbisa negara itu untuk memikat pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay.
"Saya harap Safee terus fokus dengan latihan, selain mengelakkan dari sebarang hubungan atau aktiviti-aktiviti yang menganggu tumpuannya kerana ini misi terpenting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
"Kecederaan otot yang menghantui Safee sebelum ini juga semakin pulih, dan Safee kini berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini (semalam)," katanya menerusi laman rasmi Facebook milik Safee semalam.
Terdahulu, segelintir pihak media di Britain mempertikai keputusan Cardiff menguji Safee yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah di bahagian serangan The Bluebirds bagi jangka masa pendek.
Ia ekoran penyerang berusia 27 tahun itu dilaporkan perlu beraksi dalam kancah Liga Eropah terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada syarat mendapatkan permit kerja.
Masalah permit kerja itu bagaimanapun bukan satu masalah besar memandangkan Cardiff hanya beraksi pada saingan Liga Kejuaraan England, dan syarat mendapatkan permit kerja difahamkan lebih longgar dikenakan terhadap pemain berbanding beraksi bersama kelab dalam Liga Perdana England.
Jika syarat itu benar, usaha Safee untuk menyarung jersi Cardiff jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab, Queens Park Rangers (QPR) yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.
Safee dijadualkan menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama dua minggu sehingga 27 September depan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya, Pelita Jaya.

Bekas penyerang Selangor itu dikhabarkan telah berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani latihan semalam setelah tidak mengikuti kunjungan Cardiff ke Newport, utara England bagi menentang Blackpool bagi aksi ketujuh Liga Kejuaraan England yang berkesudahan seri 1-1.

AYUH GEMPUR!!!!! SAKSIKAN DI STADIUM ATAU ASTRO MLM INI


PIYA-Antara watak penting untuk mlm ini
KELANTAN mempunyai masa kurang daripada  3 jam untuk memantapkan lagi jentera penggempur dan pertahanan mereka sebelum turun menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, jentera hadapan skuadThe Red Warriors hanya berjaya menghasilkan empat gol biarpun banyak peluang terbaik terhidang dalam setiap perlawanan.


Sebagai penyandang juara, Kelantan pastinya berdepan tekanan yang cukup tinggi, apa lagi mereka kini berada di tangga kedua Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas tewas mengejut kepada Felda United, Rabu lalu.
Biarpun terpaksa akur dengan kehebatan Felda United yang berjaya menumpaskan mereka 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad The Red Warriors itu dilihat menunjuk- kan peningkatan dalam permainan yang dipamerkan.
Berdasarkan statistik, Kelantan sekurang-kurangnya memiliki 10 percubaan tepat dan enam percubaan yang tersasar ketika menentang Felda United, namun masalah ketajaman penyudah menyebabkan mereka gagal menghasilkan sebarang gol.
Norshahrul Idlan Talaha yang baru pulih daripada kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan harus segera mencari rentak untuk membuktikan dia adalah seorang penyerang yang cukup disegani.
Penyerang pinjaman, Azamuddin Akil juga dilihat masih belum menemui sentuhan apabila gagal menyumbang sebarang gol dalam tiga perlawanan selain harus bekerja lebih keras mencari keserasian bersama Norshahrul.
Dia yang diletakkan sebagai penyerang kedua selepas Norshahrul, perlu bijak meletakkan diri di posisi terbaik serta mencari ruang bagi menyudahkan peluang melalui gerakan barisan tengah Kelantan.
Dalam pada itu, ‘jeneral padang’ Kelantan, Badri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari juga perlu lebih kreatif merencanakan gerakan untuk membuka peluang kepada rakan dalam menghasilkan gol.
Perlawanan menentang Felda United tempoh hari membuktikan kedua- dua pemain ini perlu bekerja lebih keras mencari ‘idea-idea’ segar dalam mencipta gerakan kerana pemain lawan dilihat sudah mampu membaca permainan mereka berdua.
Dalam pada itu, antara kekuatan yang ada pada pasukan Kelantan yang tidak boleh dinafikan oleh pasukan lawan adalah kepantasan kedua-dua pemain sayap mereka.
Kelebihan yang ada pada Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu perlu dimanfaatkan oleh Datuk M. Karathu mencorak serangan dan membantu Badri dan Shakir, selain kedua-duanya juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan gol.
Apa yang lebih penting, barisan pertahanan Kelantan perlu lebih konsisten, terutamanya pertahanan kental S. Subramanian yang perlu lebih vokal mengkoordinasikan rakan-rakan lain bagi membentuk benteng yang lebih kukuh.
Bagi Shahrizan, peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan selepas ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan dia masih seorang penjaga gol yang terbaik pernah dimiliki Kelantan.
Bertemu Sarawak malam esok adalah peluang terbaik buat Kelantan membuktikan mereka masih belum bersedia melepaskan Piala Malaysia yang dimenanginya musim lalu.

Saturday, 17 September 2011

BECKHAM MALAYSIA TUNJUK KEHEBATAN


Penyerang sensasi negara, Safee Sali mempamerkan taringnya apabila meledak gol sulung pada hari pertama sesi latihan bersama Cardiff City di pusat latihan kelab tersebut, kelmarin.
Jaringan sulung Safee pada perlawanan lima sebelah itu begitu menarik apabila dia mengelecek pemain pertahanan skuad bimbingan Malky Mackay.

Ia merupakan perkembangan terbaru Safee yang disampaikan oleh pengurus peribadi pemain itu, Zakaria Ab. Rahim yang bangga dengan pencapaian Safee pada hari pertama bersama kelab divisyen dua England itu.
"Sebelum meledak jaringan tersebut, Safee mempamerkan kehandalannya apabila
mengelecek seorang pemain pertahanan skuad Bluebirds.

"Selepas menjaringkan gol, Safee dijatuhkan oleh pemain yang berjaya dilepasinya sebelum itu namun Safee tidak mengalami apa-apa masalah.

"Ia perkembangan yang amat baik kerana Safee tiba hari Isnin lalu dan terus menjalani latihan pada pukul 9 pagi semalam (waktu tempatan)," katanya semalam.

Tambah Zakaria, Safee mula menyertai sesi latihan kelab itu di Stadium Cardiff City buat kali pertama selepas berlatih di pusat latihan kelab itu Selasa lalu.

"Safee menunjukkan keserasian dengan pemain dan hubungan dengan rakan sepasukan yang lain amat baik.
"Jurulatih tidak menganggap Safee sebagai orang asing semasa latihan serta memberikan layanan yang sama seperti mana pemain lain," katanya.

Menurutnya, Safee tidak mengalami masalah seperti tempat penginapan yang hanya lima minit berjalan kaki ke pusat latihan Cardiff City.

Sementara itu, mengenai laporan akhbar tempatan Wales yang menggelar Safee sebagai 'David Beckham Malaysia', Zakaria berkata: "Ia mampu menyuntik semangat Safee kerana ramai yang semakin mengenalinya.
"Cabaran berlatih di sana amat bagus buat Safee kerana dia dapat bersama dengan pemain yang jauh lebih tinggi tahap keupayaannya, terutama apabila berlatih dengan penyerang Cardiff City," katanya.

Friday, 16 September 2011

KAMI TIDAK GUSAR..!!!!


PESANAN BERGUNA.....KLIA

APA saja pujian yang diberikan kepada Jepun sebenarnya tidak menggentarkan skuad Olimpik negara apabila berdepan pasukan gergasi Asia itu pada perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu ini.
Sememangnya diakui, sejak undian peringkat kumpulan pada Julai lalu diketahui, ramai yang khuatir mengenai peluang anak didik Ong Kim Swee itu apabila diundi bersama Jepun yang tidak pernah gagal menempatkan diri ke temasya sukan terbesar di dunia itu sejak 1996.

Namun kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat tetap menaruh harapan betapa barisan muda negara mampu melakar kejutan untuk mencipta permulaan baik dalam kempen kali ini.

“Semua orang tahu Jepun pasukan terkuat di Asia, apa yang kami perlu lakukan adalah memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan tidak terlalu memikirkan kehebatan pasukan lawan.

“Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan pasukan yang beraksi lebih baik berhak menang pertemuan ini nanti. Saya harap semua penyokong mendoakan kejayaan kami,” katanya yang berlepas ke Jepun bersama skuad seramai 21 pemain pagi semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan skuad bawah 23 tahun negara setakat ini ternyata lebih memihak kepada skuad Samurai Biru.


Pada pusingan kelayakan pertama Olimpik 1999, Malaysia tumpas 0-4 di Hong Kong dan kalah dengan jaringan sama di Tokyo. Malaysia dan Jepun bertemu sekali lagi di pusingan kedua kelayakan Olimpik 2007 namun kecundang 1-2 di Petaling Jaya dan 1-3 di Tokyo.

Malah ketika berentap di pusingan pertama Sukan Asia Guangzhou tahun lalu, Malaysia yang ketika itu dikendalikan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tumpas 0-2.

Khairul Fahmi atau turut senang disapa dengan panggilan Apek sedar, mereka perlu memberi aksi terbaik untuk mengekang asakan skuad kendalian Takashi Sekizuka yang bakal menurunkan penjaring terbanyak ketika muncul juara Asia di Guangzhou, Kensuke Nagai.

“Pemain-pemain berada di tahap terbaik ketika ini cuma kami perlu meningkatkan prestasi apabila bertemu Jepun kerana mereka bukan pasukan sebarangan. Saya amat berharap memastikan pintu gol tidak dibolosi dalam perlawanan itu,” katanya yang menjadi penjaga gol utama skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Malaysia yang menjadi wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Olimpik tumpas 0-1 kepada skuad Olimpik Oman pada aksi persiapan terakhir di Stadium UiTM kelmarin selepas seri tanpa jaringan menentang kelab Iraq, Arbil SC minggu lalu.

Selain Jepun, skuad negara bakal berdepan tentangan Syria dan Bahrain dalam merebut satu slot automatik ke London selepas kali terakhir Malaysia layak beraksi di sukan Olimpik Moscow pada 1980.

PENYERANG KURANG TAJAM!!!!!!


SKUAD OLIMPIK.....

KEMAMPUAN jentera serangan skuad Olimpik negara terus diragui menjelang pertemuan getir menentang Jepun pada perlawanan pembukaan saingan Kumpulan C pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Tosu, Rabu ini.
Masalah ini tampak membingungkan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya kalah tipis dalam aksi persahabatan dengan skuad Olimpik Oman 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Ketika pertahanan serta bahagian tengah negara berfungsi dengan baik, bahagian serangan yang diterajui A Thamil Arasu dan Mohd Irfan Fazail gagal menterjemahkan deretan peluang kepada jaringan.

Kegagalan itu menyebabkan skuad negara yang mendapat sokongan lebih 2,000 penyokong akur dengan gol tunggal Oman hasil jaringan penyerang lincah, Hussain Ali al Hadhri pada minit ke-41.

Bagi Kim Swee yang berlepas ke Jepun bersama 21 pemain pagi tadi amat berharap ‘kemarau gol’ jentera serangan dapat diakhiri dalam perlawanan sebenar.

“Jika anda melihat perlawanan tadi (semalam) bahagian serangan kami sudah melakukan segala yang termampu, kami mengatur gerakan dan melancarkan serangan namun masih gagal menghasilkan gol,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.


Perlawanan dengan Oman yang baru dinobat selaku juara Piala Negara-Negara Teluk Bawah 23 Tahun ini adalah aksi pemanas badan kedua skuad negara selepas seri tanpa jaringan menentang Arbil SC minggu lalu.

Skuad kendalian Kim Swee boleh mencipta kemenangan ke atas Oman jika peluang pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-45, Thamil Arasu di minit ke-47 dan 48 di depan gol dapat disempurnakan dengan baik.

Malah kemasukan penyerang gantian tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim turut gagal mencipta sesuatu.

Namun secara keseluruhan Kim Swee menyifatkan anak buahnya beraksi dengan baik khususnya ketika mendominasi permainan babak kedua.

“Kami beraksi lebih baik pada babak kedua walaupun gagal mencari gol penyamaan. Kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dan kekalahan ini boleh dijadikan pengajaran buat semua pemain sebelum menentang Jepun,” katanya.

Selain Jepun, Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara yang mara ke pusingan ketiga turut akan berdepan Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

Thursday, 15 September 2011

AYUH MALAYSIA!!!!!!!

MALAYSIA BOLEH!!!!!

RAKYAT Malaysia bakal menyaksikan pertembungan ibarat pemanas badan skuad Olimpik negara dengan skuad Olimpik Oman sebelum bertemu cabaran sebenar iaitu Jepun, 21 September ini.

Sebelum ini, pasukan kendalian Ong Kim Swee itu, ‘bertapa’ di Slovakia sejak 23 Julai lalu dengan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan di mana mereka menang lima perlawanan.

Apa pun Kim Swee sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran bagi 

perlawanan ini, kerana mengharap agar anak buahnya, dapat menggunakan peluang yang ada untuk belajar sebelum bertemu pasukan dari negara matahari terbit itu.

Namun, jika seperti dikatakan oleh ramai orang, jika kita memenangi perlawanan kali ini, pasti nama Malaysia lebih dipandang tinggi tetapi jika kita kalah jangan pula menuding jari menyalahkan mereka kerana itu adalah pengalaman buat mereka.

Wednesday, 14 September 2011

SELANGOR HARAP TUAH!!!!!


PIALA IDAMAN.....

PELUANG juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor untuk melangkah ke suku akhir kini bergantung sepenuhnya pada aksi menentang T-Team di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Andai tewas kepada kelab Terengganu itu, anak buah jurulatih K Devan sudah boleh melupakan hasrat untuk bergelar juara kumpulan ketika Kuala Lumpur dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk menundukkan PDRM yang masih belum mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Namun kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah melaungkan amaran akan berjuang habis-habisan apabila melayan kunjungan skuad kendalian Yunus Alif nanti bagi memastikan “Misi 33” tidak berkubur di peringkat kumpulan.

“Saya tetap yakin peluang ke suku akhir masih terbuka. Kami akan beraksi dua perlawanan di tempat sendiri (menentang T-Team dan Kuala Lumpur) yang secara tidak langsung akan memberikan kelebihan untuk meraih mata penuh.

“Namun aksi menentang T-Team paling kritikal kerana menentukan hala tuju pasukan dan kami tidak boleh tewas untuk kali keempat musim ini,” katanya.


Selangor diikat Kuala Lumpur dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan D kelmarin sekali gus menamatkan pusingan pertama dengan meraih empat mata.